Friday, October 31, 2008

AQIQAH IN ISLAM

Writen by: Mufti Farooque Darul-Uloom
Translation by: Iftkhar Khan

Introduction
The legal status of Aqiqah and its ruling is commonly misunderstood in our communities. Therefore it’s understandable to know about Aqiqah in a great detail. Aqiqah is an Arabic word which refers to those hairs found on a newborn’s head. Then later on its usage was being referred to goats which were being sacrificed for the newborn and shaving of the head. Soon the word was not just limited to the goats only but gradually started to be used for sheep as well and later on to all those animals which were being sacrificed in the name of the newborn child.

Ruling
Regarding the Hadith mentioned according to most of the scholars this does not mean it has become farad (compulsory) or Wajib (necessary) and they are also not denying its Sunnah or Mustahab.

According to Allama Zufar Uthmani, the Hanafi school of thought practices Aqiqah as Mustahab (preferable) from this the legal states of Aqiqah is much clearly understood.

Some people give such an importance to Aqiqah that they make it obligatory. These people think that who has not made an Aqiqah their Qurbani (ritual sacrifice) is not correct or acceptable however this way of thinking is entirely wrong. Because when someone has become a Sahib-e-Nisaab (financially independent) during the days of Qurbani (Ritual sacrifice), only then performing Qurbani has become a must. Regardless of if Aqiqah has been preformed or not.

And there are some people who are involved entirely in the opposite and give no such importance at all to this practice. Whilst being Sahib-e-Nisaab (financially independent) and don't even think of performing Aqiqah.

Kindly refer http://www.classicalislam.com/pages/articles/aqiqah.htm for details

Thursday, October 30, 2008

Nasihat di sana sini

Banyak yang boleh kita (pemimpin) insafi dari petikan dibawah…

Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir.

Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.

Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?” Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Pembaziran

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi.

Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma‘ruf dan al-An- Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?” (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperoleh ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa‘d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai.

Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Tanggungjawab

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

Pinjaman Berteraskan Islam?

Dipetik dari http://www.harakahdaily.net

Pinjaman perumahan pembiayaan kewangan Islam mencekik darah?

SM Mohamed Idris
Fri | Apr 04, 08 | 11:24:19 am MYT
Diarah membayar RM505,368.54, apabila bank hanya membayar RM10,000. Lebih malang beliau diarah membayar RM505,368.54 (sama dengan keuntungan berserta dengan jumlah yang dibahagikan kepada pemaju) dan lebih daripada itu, kos guaman pula mencecah sehingga RM17,450! Semua ini adalah kepada bayaran sebanyak RM10,000 yang telah dibuat oleh bank kepada pemaju projek yang gagal itu. Ini berlaku kepada peminjam-pinjaman perumahan sebuah perbankan Islam.Ini adalah kisah benar. Abdul (bukan nama sebenar) memutus untuk memiliki sebuah kondominium pilihan keluarganya pada tahun 1997 melalui pembiayaan kewangan Islam. Abdul ketika itu merupakan seorang eksekutif muda yang berusia 31 tahun dan baru sahaja menaiki tangga kejayaan dalam kariernya selepas menamatkan pengajian daripada Universiti Islam Antarabangsa enam tahun yang lalu.

Abdul yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak dan berlatar belakang dalam Ekonomi Islam ini, hendak memastikan dapat membeli kondominium untuk didiami oleh keluarganya.

Baginya, pembelian ini hendaklah bebas daripada sebarang riba yang dilarang dalam kepercayaan Islam. Memandangkan pembiayaan rumah cara konvensional ini dikenakan riba, dia memutus untuk membiayai pembelian rumahnya dengan menggunakan prinsip pembiyaan al-bay bithaman ajil (BBA) yang ditawarkan oleh bank terbabit.

Harga pasaran kondominium yang dibeli oleh Abdul disenaraikan sebanyak RM249,500 oleh pemaju. Kondominium berkenaan masih dalam pembinaan. Dalam kontrak, bank berkenaan sepatutnya membeli semula rumah tersebut daripada Abdul dan menjual semula kepadanya dengan harga RM744,766.34.

Bunyinya mungkin agak pelik. Kenapa pula seseorang itu perlu menjual dengan harga RM249,500 dan membeli kembali barangan yang sama pada hari yang sama dengan harga RM 744,766.34, dengan memberikan keuntungan kepada pihak yang lain.

Alasannya adalah, Abdul diberikan 30 tahun untuk membayar balik secara bulanan sebanyak RM1,013.73 (dengan perbezaan dalam sen) untuk tiga tahun pertama (2.71%) dan RM2,186.04 bulanan untuk 27 tahun yang seterusnya.

Ini memberikan kadar faedah tahunan sebanyak 8.4 peratus. Konsep membeli sebuah aset dan menjual semula kepada orang sama dikenali sebagi bay al-inah.

Tetapi bagaimana pula Abdul memperoleh rumah sebelum menjualnya kepada pihak bank? Lagipun ketika itu ketara yang Abdul sedang mencari pembiaya sewaktu kondominiumnya masih lagi dalam pembinaannya. Ya, sudah tentu bank berkenaan menyediakan kewangan dengan memberikan wang secara berperingkat memandangkan rumah berkenaan masih dalam pembinaan.

Dalam sistem konvensional agak jelas bahawa apabila pihak bank mula menyalurkan bayaran kepada pemaju, faedah akan dikenakan mengikut perkembangan bayaran yang dibuat.

Namun begitu, dalam konsep BBA, dua kontrak jual terlibat. Walaupun jelas bank membiayai pembiayaan kondominium berkenaan, pelanggan perlu menjual aset berkenaan kepada bank sebelum membelinya kembali di bawah konsep inah.

Konsep inah ini dianggap sebagai tidak Islamik oleh kebanyakkan ulama Timur Tengah. Kerana walaupun ia melibatkan dua kontrak jualan, ia secara asasnya merupakan kontrak pinjaman yang mempunyai tujuan. Namun, konsep ini diiktriaf oleh kebanyakkan ulama Syariah di Malaysia. Walau bagaimanapun, dibawah konsep inah, masalah yang sedia ada boleh menjadi lebih teruk lagi.

Kes Abdul ini terjadi sewaktu Asia Tenggara dilanda krisis ekonomi, telah menyebabkan projek kondominum berkenaan tergendala dan terbiar. Pemaju berkenaan pula menghilang diri entah ke mana. Ketika itu, hanya kerja-kerja asas sahaja yang dijalankan di tapak projek berkenaan dan pihak bank telah pun mengeluarkan RM10,000 kepada pemaju. Abdul dan pembeli-pembeli lain kerap mengunjungi tapak pembinaan dengan harapan untuk melihat pemaju menyambung semula kerja pembinaan tetapi kecewa.

Akhirnya, selepas putus asa, Abdul bertemu pihak bank dan memaklumkan situasi yang dialaminya. Dia menawarkan untuk membayar bank RM10,000 yang telah pun dibayar oleh bank kepada pemaju.

Dia menganggap bahawa dia sedang ‘menolong’ pihak bank dengan membayar kembali jumlah bayaran berkenaan, lagipun dia berpendapat bahawa bank sepatutnya memberikan sebuah rumah kepadanya tetapi gagal berbuat sedemikian.

Mmandangkan kewangan Islamik berasaskan kepada prinsip ekuiti bukankah bank menangggung kerugian ini, fikirnya.

Tetapi apa yang lebih menakutkannya adalah, dia dimaklumkan yang dia berhutang dengan bank lebih daripada apa yang perlu diberikan kepadanya. Dalam surat peguam yang dihantar kepadanya pada 2005, memintanya untuk membayar jumlah penuh sebanyak RM505,368.54 (sama dengan keuntungan bank berserta dengan jumlah yang dibahagikan kepada pemaju) sebelum 20 Mei 2005. Dan lebih daripada itu, kos guaman pula mencecah sehingga RM17,450! Semua ini adalah kepada bayaran sebanyak RM10, 000 yang telah dibuat oleh bank kepada pemaju projek yang gagal itu.

Abdul pergi mendapatkan bantuan daripada Bank Negara dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun hampa. Dia dimaklumkan yang dia telah membuat pinjaman dan untuk itu dia perlu beertanggungjawab sepenuhnya ke atasnya pinjaman tersebut.

Abdul membantah kerana dia dilayan dengan tidak adil disebabkan dia diminta untuk membayar sehingga setengah juta ringgit tanpa sebab dan ini baginya adalah tidak Islamik langsung. Pihak bank pula mengenepikan hujah mengatakan bahawa kaedah pembiayaan pihak bank disokong oleh majlis Syariah yang telah meluluskan konsep BBA sebagai Islamik berdasarkan kepada ketetapan Syariah itu sendiri.

Abdul masih ‘berjuang’ dalam kesnya dan telah diminta hadir ke mahkamah. Dalam pada itu, namanya telah disenarai hitam sehinggakan sukar untuknya mendapatkan pembiayaan pinjaman daripada pihak bank lain untuk membeli sebuah rumah kepada keluarga tersayangnya.

Terganggu akibat kegagalan membeli rumah untuk keluarganya dan pada masa yang sama terlibat dalam masalah kewangan dan undang-undang, Abdul nekad untuk meneruskan kehidupan ini, serta menolak sama sekali untuk melihat semua ini sebagai sesuatu yang adil dan patuh kepada ajaran agamanya.

Memandangkan kontrak Islamik ini adalah kontrak jual yang turut mengambil kira keuntungan, seseorang pelanggan boleh sekiranya gagal, berhutang dengan jumlah yang tinggi daripada jumlah yang dipinjam.

Sebagai contohnya, dalam kes Abdul ini, pembiayaan kewangan yang asal ialah sebanyak RM249,500 tetapi dia diminta untuk dibayar sebanyak RM505,368.54 kerana ‘gagal’. Perkara seperti ini tidak akan terjadi dibawah sistem pembiayaan konvensional. Pelanggan tidak akan berhutang lebih daripada pinjaman asal, dalam apa jua keadaan sekalipun sehingga pinjaman berkenaan habis dibayar.

Persamaan dalam kes ini ialah apabila seseorang gagal membayar dalam masa yang ditetapkan, contohnya, selepas rumah berkenaan telah siap dibina.

Sebagai contoh, dalam kes di atas, katakan Abdul gagal membayar pada tahun ketiga. Jadi, diangggarkan bayaran bulanan ialah RM2,186.04 untuk 27 tahun yang akan datang, dibawah skim BBA, dia berhutang pinjaman penuh tersebut, RM708,276.96 (RM2,186.04 x 27 x 12).

Di bawah pembiayaan kewangan konvensional, jumlah yang dihutang bukan jumlah keseluruhan tetapi nilai semasa ketika itu, jumlah termasuk faedah yang dikenakan untuk 27 tahun. APR sebanyak 10.63 peratus, jumlah ini hanyalah sebanyak RM232,658.29. Lihatlah perbezaan yang ketara antara kedua-dua skim ini.

Disebabkan perbezaan ini, Bank Islam secara ‘moral’ mewajibkan untuk memberikan potongan untuk penebusan walaupun potongan sedemikian tidak boleh dinyatakan dalam kontrak, sebaliknya menjadi kontrak yang bukan menurut Syariah.

Inilah yang menjadi isu dalam kes Zulkiffli Abdullah lawan Affin Bank. Apabila Zulkiffli gagal untuk membayar jumlah yang dihutang walaupun rumah tersebut akan dijual pada bulan Mac, dia terpaksa juga membayar jumlah hutangnya.

Maka, satu masalah utama dalam BBA ialah harga jualan sesebuah rumah itu tidak menggambarkan harga pasaran rumah tersebut - sebuah masalah yang berpotensi dalam kes kegagalan membayar harga rumah. Tetapi di bawah sistem pembiayaan kewangan konvensional, baki tidak akan melebihi harga rumah yang sebenar.

Untuk mengurangkan masalah ini, satu lagi skim perumahan yang relatif kini ditawarkan kepada pembeli. Konsep Musharakah Mutanaqisah (MM). MM ialah skim kontrak perkongsian yang melibatkan pulangan rendah.

Dalam hal ini, pihak bank dan pembeli akan memiliki bersama-sama rumah tersebut. Jadi, pembeli akan membayar sewa yang berpatutan ke atas rumah/harta tersebut.

Memandangkan rumah tersebut dimiliki secara bersama-sama maka bahagian penyewaan ditanggung oleh pihak pembeli itu sendiri. Penyewaan ini akan menebus pemilikian bank terhadap rumah tersebut, sekali gus meningkatkan hak pemilikan rumah dalam kalangan pembeli tersebut.

Pemilikan hak pembeli akan meningkat secara berperingkat-peringkat apabila bayaran sewa bulanan dibuat dengan tetap dan apabila telah mencapai nisbah 100%, pembeli akan memiliki sepenuhnya hak ke atas rumah berkenaan. Tambahan lagi, bayaran bulanan boleh dibayar lebih daripada apa yang ditetapkan untuk menebus hak pemilikan rumah dengan cepat.

Pihak bank lebih tertarik kepada konsep MM kerana formula matematik sama dengan formula konsep pembiayaan konvesional. Maka, untuk kadar faedah yang sama, konvensional dan MM memberikan penebusan yang sama termasuk jadual pembayaran baki mengikut masa yang dikehendaki. Tidak seperti BBA, baki pembiayaan dibawah MM tidak akan melebihi jumlah asal yang telah dipinjam.

Namun, pihak bank akan menggantikan kadar sewa yang perlu dibayar di bawah konsep MM dengan kadar faedah! Ini kerana mereka tidak mahu mengambil risiko dengan menyewa atau harga rumah naik turun.

Tambahan lagi, sumber kewangan mereka juga terikat dengan kadar faedah pasaran. Tetapi menggantikan harga sewa dengan kadar faedah akan memberikan MM sama dengan konsep pembiayaan konvensional dengan bezanya hanyalah pada pemilikan rumah tersebut.

Maka, pembeli beragama Islam yang ingin memastikan konsep pembiayaan rumah adalah benar-benar Islamik perlu mendesak untuk menggunakan kadar sewa dan bukannya kadar faedah.

Satu isu yang amat berat dibincangkan dalam pembiayaan Islamik (dan juga dalam konsep konvensional) ialah isu yang melibatkan bagaimana duit dihasilkan oleh bank konvensional dan Islam.

Semua bank komersial menghasilkan wang apabila mereka memberikan pinjaman atau pembiayaan. Sebagai contohnya, apabila bank Islam membiayai sebuah rumah yang berharga RM250,000, ia hanya menghasilkan wang melalui akaun semata-mata. Duit pendeposit tidak akan ditolak apabila RM250,000 itu dibayar oleh pihak bank kepada pembeli ataupun pemaju.

Inilah simpanan kecil namanya. Di Malaysia, untuk setiap pendepositan RM1 dalam bank, sistem bank boleh menwujudkan 24 ringgit pinjaman atau duit baru (menggambil kira simpanan berkanun yang memerlukan 4 peratus), bersamaan untuk setiap pendepositan RM1 juta, RM24 juta yang baru dan praktikal menghasilkan kuasa membeli secara ‘percuma’.

Sudah tentu ini akan mewujudkan inflasi.Kebanyakan inflasi dalam ekonomi disebabkan penghasilan wang secara percuma, berbanding dengan kekurangan bekalan. Inflasi pnghasilan wang baru ini akan mengakibatkan cukai ke atas orang ramai dengan merampas kuasa membeli simpanan mereka. Namun, ulama Syariah hanya mendiamkan diri, tiada berkata apa-apa tentang penghasilan wang ini. Penghasilan wang baru ini sudah tentu seperti mencuri kekayaan negara.

Jika seseorang meminjam RM1,000 pada kadar faedah 10 peratus, orang tersebut perlu memulangkan kembali sebanyak RM1,100. Kadar faedah yang dikenakan sebanyak RM100 dikatakan sebagai �riba� atau memakan riba yang telah ditetapkan terlebih dahulu, diperolehi tanpa mengambil apa-apa risiko.

Tetapi bagaimana jika RM1,000 itu tidak menghasilkan apa-apa? Ia juga bukan menghasilkan kuasa pembeli yang percuma tanpa risiko ‘negatif’? Malah, jika 10 kali ganda kadar faedah, bukankah ini dianggap sebagai riba yang hebat?

Oleh itu, menjalankan pembiayaan Islamik ini termasuk Musharakah Mutanaqisah, dengan wang yang dihasilkan secara percuma oleh sistem bank ini harus dipersoalkan.

Sesungguhnya, tidak nampak keislamikan dalam hal ini. - lanh

Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.